Thursday, 29 August 2013

MELAKA BUMI BERTUAH & PENGENALAN MELAKA



(MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH)

Sejarah Melaka bermula dengan pengasasan Kesultanan Melaka oleh Parameswara, seorang bangsawan Srivijaya dari Palembang, keturunan majapahit, pada tahun antara 1400 hingga 1403.Parameswara adalah keturunan Raden Wijaya, raja pertama dan pengasas Kerajaan Majapahit (1293-1309)yang menikahi Sri Gayatri Rajapatni, puteri dari Sri Kertanegara, raja terakhir (1268-1292) Kerajaan Singhasari, yang kemudian memiliki Puteri Tribuana Tunggadewi, pemimpin ketiga (1326-1350) Kerajaan Majapahit. Beliau menikahi Kertawardana, dan memiliki Puteri Iswari. Si puteri kemudian menikahi Singawardana, dan memiliki Putri Sarawardani. Kemudian ia menikahi Ranamenggala, dan memiliki anak bernama Parameswara yang lahir di tahun 1344 pada saat neneknya, Ratu Tribuana Tunggadewi, memerintah Majapahit. Mengikut riwayat Sejarah Melayu, Parameswara merupakan putera raja Palembang kurun ke empat-belas yang melarikan diri dari musuhnya iaitu orang-orang Jawa. Baginda telah melarikan diri ke Temasik (sekarang dikenali sebagai Singapura) dan menjadikan dirinya sebagai raja. Tidak lama kemudian, baginda dihalau dari Temasik oleh penjajah dari Siam dan dengan pengikut-pengikutnya sampai ke pantai barat Semenanjung Tanah Melayu untuk mencari tempat untuk berselindung. Pada mulanya mereka menjadikan Muar, Johor sebagai tempat untuk bermastautin tetapi keadaannya tidak sesuai kerana terdapat terlalu banyak biawak. Baginda kemudian memilih tempat kedua untuk membina istana tetapi ianya tidak berkekalan. Parameswara kemudian menjelajah ke tempat lain. Dalam satu rombongan memburu, baginda sampai ke sebuah sungai bernama Bertam. Di sana, beliau terlihat seekor kancil yang dikejar oleh anjing-anjing pemburu baginda telah menendang salah seekor daripada anjingnya jatuh ke dalam sungai. Baginda amat terkejut dengan keberanian kancil tersebut dan dengan serta-merta menamakan tempat tersebut dengan nama Melaka, sempena dengan nama pokok di mana baginda sedang berteduh. Kesultanan Melaka ini memerintah Melaka selama 110 tahun sehingga ditewas oleh pihak Portugis pada tahun 1511. Melaka ditawan oleh Alfonso de Albuquerque, seorang Wizurai Portugis pada 24 Ogos 1511 dan menjadikannya suatu pangkalan strategik bagi pengembangan pihak Portugis di Hindia Timur. Sultan Mahmud Shah, Sultan terakhir Melaka, melarikan diri ke daerah pedalaman dan menyebabkan kesukaran kepada pihak Portugis dengan serangan sekejap-sekejap dari tanah daratan dan laut. Akhirnya, pada tahun 1526, seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan yang melindungi Sultan Mahmud. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra di mana beliau mangkat dua tahun kemudian. St. Francis Xavier, seorang mubaligh Jesuit, tinggal di Melaka selama beberapa bulan pada tahun 1545, 1546 dan 1549 kerana hendak menjadikan Melaka sebagai pusat operasinya di Timur.Pada tahun 1641, pihak Belanda menakluk Melaka dengan penewasan pihak Portugis melalui bantuan Sultan Johor. Walaubagaimanapun, pihak Belanda tidak berminat menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan di antara Timur dan Barat tetapi mereka lebih mementingkan pembangunan Batavia (Jakarta) di Indonesia sebagai pusat pentadbiran mereka. Pihak Belanda menyerahkan Melaka kepada pihak British mengikut Perjanjian British-Belanda pada tahun 1824. Dari 1826 hingga 1867, Melaka diperintah oleh Syarikat Hindia-Timur British (British East India Company), dan kemudiannya menjadi sebuah tanah jajahan British. Ia menjadi sebahagian Petempatan Selat (Straits Settlement), bersama-sama dengan Singapura dan Pulau Pinang pada tahun 1946. Selepas pembubaran tanah jajahan, Melaka dan Pulau Pinang menjadi sebahagian Malayan Union yang kemudiannya menjadi Malaysia. 



No comments:

Post a Comment